Amir Yussof

Amir Yussof merupakan seorang penyanyi, penulis lagu dan penyampai suara latar Malaysia.[1][2] Dilahirkan di New Delhi, India dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Amir memulakan kerjaya muzik solo dengan bergiat aktif menyanyi di beberapa kelab malam selepas berhenti belajar di universiti.[2] Bakatnya dicungkil oleh Roslan Aziz menerusi pertandingan Top of the Pubs di mana Roslan ialah juri ketika itu, Amir dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua.[2]Menerusi label Roslan Aziz Productions (RAP), Amir muncul bersama album kompilasi Ikhlas (1991) yang turut menampilkan Afdlin Shauki, Zainalabidin dan Sheila Majid. Dalam album itu, beliau menyumbangkan lagu bertajuk "Island". Album solo pertamanya, Some of This is Real dikeluarkan pada 1995,[3] melayakkan Amir memenangi Album Inggeris Tempatan Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-3 pada 1996. Beliau kemudiannya merakamkan dua lagi album yang turut menerima pencalonan AIM—Altered Native (1998) dan Aquarius (2002). Selain itu, beliau pernah menyumbangkan suaranya untuk watak Tarzan untuk filem animasi Disney 1999, Tarzan versi bahasa Melayu.[4][5]